Menurut sumber, lelaki yang berusia 56 tahun tersebut yang juga bekas Ahli Lembaga Pengarah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) telah ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya pada pukul 12.40 tengah hari dan berkemungkinan akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, Johor esok.

Difahamkan, bekas ahli parlimen berkenaan telah menggunakan jawatannya semasa menjawat jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah FELDA dengan mengambil tindakan mengesyorkan dan meluluskan pelantikan sebuah syarikat pencetakan yang disyaki beliau mempunyai kepentingan bagi kerja-kerja penerbitan Akhbar 1Suara di FELDA antara tahun 2012 dan 2015 yang dianggarkan bernilai lebih RM13 juta.

Sebagai balasan, pada tahun 2013, beliau didakwa telah menerima suapan wang ringgit bernilai RM50,000 dan pada 2014, beliau telah menerima sebidang tanah di Mukim Kota Tinggi, Johor bernilai kira-kira RM180,000.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan memaklumkan lelaki itu akan didakwa atas dua pertuduhan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE