Itu dilakukan oleh empat pegawai Malaysia Airport Holding Bhd. (MAHB) apabila mereka ditahan secara berasi­ngan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Dua daripada mereka merupakan pengurus dan pegawai eksekutif di MAHB masing-masing berusia 50 serta 59 tahun ditahan di Pejabat SPRM Se­langor dan Pejabat Pengurusan di syarikat itu Pulau Pinang.

Dua lagi individu yang merupakan eksekutif komersial syarikat itu berusia 56 dan 55 tahun ditahan di Kota Kinabalu serta Labuan.

Menurut sumber, pengurus yang ditahan pada pukul 1.15 petang di pejabat SPRM Selangor dipercayai meminta dan menerima suapan secara bulanan daripada sebuah syarikat barangan kemas pada 2006 hingga 2014 sebagai dorongan meluluskan serta memperbaharui permohonan sewaan tapak perniagaan di lapangan terbang.

“Berdasarkan siasatan, duit sewaan tapak yang dibayar secara bulanan oleh syarikat barangan kemas tersebut tidak dimasukkan ke akaun MAHB sebaliknya ke akaun peribadinya termasuk bayaran suapan dengan jumlah nilai anggaran sebanyak RM90,000.
 “Suspek dipercayai meminta dan me­nerima suapan daripada beberapa syarikat lagi untuk tujuan sama,” katanya di sini hari ini.

Sumber turut memaklumkan, pegawai eksekutif syarikat itu ditahan kerana menerima suapan sejak 2011 hingga 2014 sebagai balasan menyokong atau mencadangkan sewaan tapak perniagaan syarikat barangan kemas terbabit di kawasan ruang legar di Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas, Pulau Pinang dengan jumlah terkumpul sebanyak RM17,500.

Tambahnya, di Sabah wang rasuah diterima berjumlah terkumpul RM37,000 menerusi tangkapan dua eksekutif ko­mersial di Kota Kinabalu dan Labuan.

“Keempat-empat suspek direman di Mahkamah Shah Alam, Georgetown, Kota Kinabalu dan Labuan hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,” ujarnya.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan tangkapan itu.