Menurut sumber, sehingga kini jumlah aset yang disita SPRM ialah wang tunai berjumlah RM978,800, lima buah kereta , 11 buah motosikal, lima bentuk cincin, seutas gelang, empat utas rantai, 11 unit telefon bimbit serta perkakas elektrik.

"Proses penilaian harga kesemua barangan yang disita itu sedang dilakukan SPRM,” katanya, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, ketika dihubungi mengesahkan penyitaan itu dan berkata pasukan penyiasat masih dalam proses mengumpul bukti bagi membantu siasatan.

Semalam, sebanyak 17 pengawal keselamatan Jabatan Perdana Menteri direman lima hari bagi membantu siasatan selepas dipercayai menyeleweng wang PRU-14 bernilai RM3.5 juta kira-kira pukul 3.30 pagi pada 10 Mei lalu. - UTUSAN ONLINE