Timbalan Ke­tua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, pihaknya sedang mengesan akaun tersebut kerana disyaki mengagihkan wang suapan mereka bagi mengelak dikesan.

“Buat masa ini beberapa akaun telah disita. Nilai dalam akaun itu tidak dapat didedahkan tapi anggaran bernilai jutaan ringgit,” katanya kepada pemberita selepas Program Himpunan Dua Roda (H2R) yang dirasmikan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang dekat sini hari ini.

Semalam, seorang lagi individu bergelar Datuk berusia 64 tahun ditahan kerana disyaki terlibat menerima wang sebanyak RM3 juta bagi menutup kes siasatan projek bernilai RM6.3 bilion tersebut.

Penahanan tersebut adalah tangkapan kedua selepas seorang ahli perniagaan berusia 37 tahun ditahan reman kerana me­nerima wang berjumlah RM19 juta berke­naan dengan tujuan sama.

Menurut Azam, beberapa do­kumen turut disita daripada kedua-dua individu terbabit bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang menyifatkan SPRM menjalankan siasatan secara berat sebelah, Azam berkata, siasatan dibuat tidak mengira mana-mana pihak.

“Penyiasatan yang kami buat adalah konsisten dan saya jamin siasatan dilakukan telus,” ujarnya.

Sementara itu, program H2R berjaya menarik seramai 10,000 penunggang motosikal dari pelbagai kelab untuk menyertai Pejuang Jalanan Menentang Korupsi (SWAC).