Itu yang ditemukan sepasukan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas menahan seorang anggota polis berpangkat koperal berusia 52 tahun di kediamannya di kuarters Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada pukul 2.15 petang semalam.

Menurut sumber, suspek me­rupakan individu kesepuluh yang ditahan bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan kegiatan mengutip wang daripada pengusaha pusat judi haram dan rumah urut di beberapa lokasi sekitar Melaka,

“Suspek dipercayai berperanan mengutip wang daripada peng­usaha-pengusaha tersebut,” katanya di sini hari ini.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan rampasan dan tangkapan itu.

Pada masa sama, Mahkamah Majistret di sini hari ini memerintahkan suspek direman selama tujuh hari sehingga 24 Mei ini bagi membantu siasatan SPRM berhubung kes tersebut.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim Wan Ab Rahman mengeluarkan perintah reman itu selepas membenarkan permohonan reman yang dibuat SPRM.

Penahanan suspek dan sembilan lagi termasuk dua ketua polis daerah merupakan usaha SPRM untuk membanteras ke­giatan rasuah melibatkan judi dan rumah urut haram yang masih berleluasa ekoran sikap tidak berintegriti termasuk dalam kalang­an pihak berkuasa.

Selasa lalu, dua orang awam termasuk seorang peng­usaha pusat judi ha­ram yang dipercayai mempunyai ‘kuasa’ untuk menukar mana-mana pegawai polis yang tidak be­kerjasama dengan mereka ditahan bersama tiga pegawai polis masing-masing dua berpangkat deputi superintenden dan seorang inspektor.

Semalam, selain suspek berpangkat koperal, dua ketua polis daerah yang bertugas di Melaka Tengah serta Jasin, seorang inspektor dan satu orang awam lagi ditahan bagi membantu siasatan kes yang sama.

Turut ditemukan semalam ialah RM186,000 wang tunai daripada kesemua suspek termasuk RM79,000 yang ditemukan di rumah Ketua Polis daerah Melaka Tengah.

Jumlah keseluruhan wang tunai yang dirampas daripada 10 suspek ialah RM986,000. SPRM turut membekukan RM400,000 daripada beberapa akaun milik suspek.

Sementara itu, dalam kes ber­asingan, seorang pegawai polis berpangkat Inspektor dari Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya direman selama lima hari bermula hari ini oleh mahkamah sama berhubung kes menerima suapan.

Pegawai tersebut didakwa menerima suapan RM5,000 sebagai balasan agar tidak mengambil tindakan terhadap seorang individu yang terlibat kes ugutan jenayah di bawah Seksyen 507 Kanun Ke­seksaan.