Penambahan itu menjadikan jumlah terkini dokumen yang dirampas SPRM adalah sebanyak 71 kotak yang akan digunakan bagi membantu siasatan dakwaan salah guna kuasa, ketirisan kontrak termasuk dakwaan run­dingan terus yang diperkatakan sebelum ini yang membawa kerugian di pihak kerajaan serta penipuan kepada orang awam.

Menurut sumber, serbuan kali kedua ini bermula sejak pukul 10 pagi dan berakhir kira-kira pukul 4.30 petang.

Katanya, selain ibu pejabat SSM, SPRM turut menyerbu empat lagi syarikat di ibu negara yang mana dua daripadanya merupakan sebuah firma perakaunan di Bangsar South dan firma penasihat pengurusan perniagaan di Sunway Nexis yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan dakwaan skandal tersebut.

“Rampasan pada hari ini merupakan dokumen tambahan daripada rampasan kelmarin dan kemungkinan akan ada serbuan lain pada minggu hadapan.

“Buat masa ini, kita masih belum memanggil kakitangan mana-mana syarikat termasuk SSM untuk memberi keterangan,” katanya ketika ditemui Utusan Online, di sini.

Pada Rabu lalu, SPRM menyerbu Ibu Pejabat SSM dan merampas 69 kotak dokumen dipercayai ekoran laporan sebuah portal berhubung gesaan Pertubuhan Kebajikan Bersatu Selangor (PKBS) supaya menyiasat projek-projek SSM berimpak tinggi yang membabitkan rundingan terus bagi sistem utama SSM kerana disyaki berunsur rasuah serta salah guna kuasa.

Jelas portal itu, gesaan tersebut dibuat susulan pendedahan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin di Dewan Rakyat pada 12 November lalu berkaitan projek berkenaan yang pada awalnya dibuat secara tender terbuka tetapi diberikan kepada syarikat yang berada di tangga keenam. - UTUSAN ONLINE