Perintah reman yang bermula hari ini sehingga Selasa depan dikeluarkan oleh Pendaftar Mahkamah Sesyen, Nor Faizah Abdullah mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Dalam kejadian pada pukul 3.30 petang semalam, suspek berusia 56 tahun itu ditahan di sebuah restoran di Kubang Kerian, di sini oleh sepasukan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan yang bertindak atas maklumat.

Difahamkan, suspek meminta dan menerima wang yang digelar olehnya sebagai ‘salam perkenalan’ sebanyak RM3,500 daripada seorang lelaki sebagai dorongan untuk mengeluarkan pas kebenaran memindahkan beras dari Kelantan ke Perak.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan, Datuk Moh Samsudin Yusoff ketika dihubungi berkata, suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 iaitu bagi ke­salahan meminta dan menerima rasuah.

Sebelum itu, suspek tersebut dibawa ke Mahkamah Kota Bharu pada pukul 11.45 pagi dengan menaiki sebuah kenderaan pacuan empat roda SPRM Kelantan.

Setelah proses mendapatkan perintah reman selesai kira-kira pukul 12.10 tengah hari, suspek yang memakai baju lokap berwarna jingga terus dibawa ke Ibu pejabat SPRM Kelantan.