Sepasukan pegawai SPRM Putrajaya itu dilihat berada di pejabat Jabatan Pelesenan MPSP kira-kira tiga jam selepas mula memasuki premis berkenaan pada pukul 10.30 pagi dengan membawa bersama dokumen berkaitan.

Dokumen itu bagi memboleh­kan SPRM menjalankan siasatan terperinci bagi mengenal pasti sama ada wujud unsur rasuah dan salah guna kuasa dalam proses kelulusan kilang terbabit.

Selain di MPSP, operasi bersepadu yang turut melibatkan Jabatan Imigresen; Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Putrajaya itu turut menyerbu kilang itu di Sungai Lembu, Mengkuang di sini, serta pejabat operasi kilang itu di Bukit Mertajam.

Kilang terbabit yang memproses serbuk untuk produk penapis karbon itu beroperasi tanpa permit sah di atas tanah berstatus tanah pertanian.

Ia terletak di dalam ladang kelapa sawit kira-kira 500 meter dari jalan utama dan kira-kira dua kilometer dari perumahan penduduk di Kampung Sungai Lembu.

Dalam serbuan ke kilang itu, Jabatan Imigresen turut menahan sembilan pekerja asing warga Myanmar termasuk seorang wanita dengan empat daripadanya didapati melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/1963 manakala selebihnya melakukan kesalahan di bawah Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

Dalam operasi sama, SPRM turut memanggil penyelia kilang terbabit yang berusia 70 tahun ke Pejabat SPRM Cawangan Seberang Perai untuk diambil kete­rangan.

LHDN turut merampas beberapa dokumen berkaitan kera­na pemilik kilang itu disyaki tidak melaporkan penyata pendapatan mereka dengan betul kepada agensi terbabit.

Sementara itu, JAS juga mendapati kilang terbabit tidak mempunyai sistem kawalan pencemaran udara serta akan mengambil tindakan atas kesalah­an meng­i­kut Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling 2014.

Ini kerana asap hasil pembakaran habuk kayu itu dilepaskan ke udara sehingga menjejaskan kesihatan penduduk berhampiran yang turut mendakwa ada dalam kalangan mereka menghidap penyakit kronik akibat menghidu asap.

Dalam pada itu, Timbalan Ke­tua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Mohd. Azam Baki ketika dihubungi mengesahkan mengenai operasi tersebut.

Utusan Malaysia semalam me­laporkan mengenai kewujudan kilang-kilang haram di Bukit Mertajam yang dilihat bagai cendawan tumbuh selepas hujan sejak 10 tahun lalu.

Lebih menyedihkan, puluhan aduan telah dibuat kepada pihak berkuasa namun kilang-kilang tersebut yang dilihat mengakibatkan pencemaran alam sekitar tetap beroperasi hingga ke hari ini.

Kilang-kilang haram itu juga dikatakan bebas menjalankan aktiviti mereka kerana dipercayai dilindungi pihak tertentu yang disyaki terlibat dalam perbuatan rasuah dan salah guna kuasa.