Operasi yang melibatkan Jabatan Imigresen, Jabatan Alam Sekitar dan Lembaga Hasil Dalam Negeri itu bermula pukul 10.15 pagi dan berakhir dua jam kemudian.

Selain menyerbu kawasan kilang yang terletak di dalam ladang kelapa sawit kira-kira 0.5 kilometer dari jalan utama itu, SPRM turut menyerbu pejabat operasi kilang itu di Bukit Mertajam dan beberapa jabatan di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Operasi itu diadakan selepas menerima aduan daripada penduduk kampung yang mendakwa kilang itu yang beroperasi sejak hampir 15 tahun lalu tidak memiliki lesen sah serta seolah-olah dilindungi oleh pihak tertentu.

Kilang itu juga menimbulkan gangguan kesihatan kepada penduduk setempat kerana melepaskan asap tebal dan gas karbon akibat pembakaran habuk kayu itu di dalam dandang.

Isu kilang itu pernah dibangkitkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti dari PKR, Dr. Norlela Ariffin mengenai banyak kilang haram dibiarkan beroperasi di Penanti tanpa tindakan lanjut oleh kerajaan DAP Pulau Pinang.

Dakwanya, kilang itu juga tidak mengikut garis panduan keselamatan selain tidak mematuhi prosedur alam sekitar namun dibiarkan terus beroperasi tanpa sebarang tindakan daripada pihak berkuasa tempatan. - UTUSAN ONLINE