AZAM BAKI

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, siasatan ke atas skandal tanah itu ketika ini hampir selesai dan mendapati ada kewajaran untuk kes berkenaan dibawa bagi tujuan pendakwaan.

“Kita meneliti secara keseluruhannya dan kami menjangkakan kes ini sedia untuk diserahkan kepada pihak pendakwaan antara pertengahan atau hujung Januari nanti,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

SPRM pada 14 Disember lalu mengumumkan siasatan ke atas isu skandal pemberian tanah di Sungai Yu, yang terpalit dengan pelbagai cerita kronisme, salah guna kuasa dan penyelewengan dibuka semula berikutan adanya bukti-bukti baharu.

Langkah tersebut dilihat tepat kerana pada 8 Disember, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat) yang dipengerusikan Hannah Yeoh terlebih dahulu mengesahkan wujudnya pelanggaran syarat.

Sehubungan itu, SPRM memaklumkan pihaknya akan memanggil seramai 21 saksi termasuk salah seorang daripadanya adalah Exco Kerajaan PKR Selangor.

Isu skandal Sungai Yu didedahkan Utusan Malaysia yang antaranya menyaksikan bagaimana 18 individu yang tiada dalam rekod di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bukan sahaja ‘berjaya’ melepasi tapisan kerajaan negeri, malah diberikan tanah.

Kepada soalan sudahkah kesemua saksi dipanggil untuk memberi keterangan dan apakah akan ada lagi Exco Kerajaan PKR Selangor akan disiasat berhubung kes tersebut, Azam berkata, perkara tersebut akan dimaklumkan kemudian.

“Apa yang boleh saya beritahu ketika ini, siasatan sudah hampir siap dan mana-mana pihak yang kita rasa mampu membantu SPRM dalam isu ini, kita sudah panggil mereka semua,” katanya.