Beliau yang memandang serius perkara itu berkata, pihaknya tidak teragak-agak menahan mereka yang bertindak sedemikian mengikut Seksyen 48H Akta SPRM 2009.

“Ketika ini sudah menjadi trend orang ramai atau mereka yang terlibat dengan siasatan SPRM membuat kenyataan kepada media. Tindakan itu boleh ditafsirkan sebagai fitnah sama ada bersifat sivil atau jenayah.

“Tindakan akan diambil terhadap mana-mana pihak termasuk ahli politik, penjawat awam mahupun ahli korporat atau individu yang terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis menaikkan bendera SPRM sempena beroperasinya bangunan SPRM yang baharu di Presint 7 di sini hari ini.

Dzulkifli berkata, mereka yang bersalah di bawah akta yang diperuntukkan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Jelasnya, akta tersebut menyebut mereka yang cuba mengganggu, menakutkan, mengancam dan melarikan mana-mana orang yang terlibat dalam penyiasatan adalah bersalah.

Menurut Dzulkifli, seharusnya pihak-pihak yang ingin memberi kenyataan kepada media berkaitan sesuatu kes yang sedang dalam siasatan perlu memberi keterangan kepada SPRM.

Ditanya adakah telah berlaku kebocoran maklumat siasatan SPRM berikutan ahli lembaga penasihat suruhanjaya juga memberi peringatan yang sama, kata beliau, tidak timbul perkara itu.

“Segala aduan dan maklumat yang diterima memang dirahsiakan dan tidak timbul perkara tersebut. Kita amat tegas dalam hal ini, bukanlah dasar SPRM untuk menghebahkan siasatan yang dijalankan.

“Kadang-kadang media pandai mencari sumber-sumber yang kita tidak pasti, tetapi kalau maklumat itu daripada SPRM, tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai yang bocorkan maklumat,” katanya.