SEKUMPULAN warga asing dipercayai pelacur bersembunyi dalam bilik khas ketika serbuan polis di Jalan Changkat, Kuala Lumpur, malam semalam.

Kegiatan tidak bermo­ral itu terbongkar selepas sepasukan polis daripada Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) menyerbu premis tersebut di tingkat tiga, Seasons Tower, Jalan Changkat, di sini pada pukul 10.45 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Datuk Zainuddin Ahmad berkata, pemeriksaan lanjut di tingkat enam premis berkenaan menemui 14 wanita warga asing sedang berehat dalam tiga bilik berasingan.

Menurutnya, ekoran itu, kesemua wanita warga asing termasuk seorang penjaga premis warga tempatan ditahan.

“Penjaga premis terbabit ditahan kerana menjalankan kegiatan pelacuran dan disyaki menggajikan warga asing tanpa permit yang sah.

“Kita juga menahan wanita warga asing kerana disyaki mencari langganan untuk aktiviti persundalan dan melanggar syarat pas lawatan sosial. Kesemua yang ditahan adalah 11 warga Vietnam, China (2) dan Indonesia (1),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Zainuddin, serbuan tersebut dilakukan atas maklumat pelacuran melibatkan warganegara asing di dalam pusat rawatan kecantikan berkenaan.

Jelasnya, kesemua tangkapan dibawa ke balai polis Dang Wangi untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 372/372b Kanun Keseksaan, Seksyen 55B Akta Imigresen dan Seksyen 39b Peraturan Imigresen.