SULAIMAN RAZAK
SULAIMAN RAZAK

Kepada wartawan Utusan Malaysia, MOHD. ASRON MUSTAPHA dan jurugambar SAHARUDDIN ABDULLAH, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, DATUK SULAIMAN RAZAK (gambar) memberikan penjelasan, apa sebenarnya yang berlaku di sebalik isu panas tersebut.

UTUSAN: Kampung Sungai Yu tiba-tiba menjadi panas dan dikenali. Apa sebenarnya skandal tanah di Sungai Yu ini?

SULAIMAN: Skandal tanah di Sungai Yu ini pada asalnya merupakan isu setempat tetapi ia juga cerminan kepada manifestasi Kerajaan PKR Selangor yang dipimpin Datuk Seri Mohamed Azmin Ali kerana kita lihat berlaku apa yang disebut penyelewengan, salah guna kuasa dan kronisme.

Kawasan seluas 36 ekar (14.4 hektar) ini sebenarnya telah disediakan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sebelum ini untuk menempatkan penduduk miskin khususnya masyarakat India bagi tujuan penempatan tetapi selepas 2008, setelah Kerajaan PKR Selangor memerintah, mereka hilang hak tersebut.

Sungai Yu ini terletak di Permatang iaitu DUN yang diwakili Datuk. Mengapa baharu sekarang isu skandal ini dibangkitkan?

SULAIMAN: Sebenarnya saya sudah mula membangkitkan isu ini sejak 2016 setelah mendapat tahu kerajaan negeri melulus dan akan menyerahkan Borang 5A tetapi pada awalnya sukar untuk saya melakukan siasatan kerana walaupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tetapi kerajaan negeri tidak memberikan butiran terperinci senarai penerima biarpun permohonan itu saya buat di dalam Dewan DUN.

Tanpa butiran lengkap saya tidak boleh membuat semakan. Hanya setelah Mac 2017 dengan membangkitkan hak kebebasan mendapatkan maklumat (FOI) sebagai ahli Dewan baharu saya diberikan senarai nama penuh penerima berserta nombor kad pengenalan mereka, daripada situ saya membuat siasatan dan pe­nemuannya amat mengejutkan.

Apa penemuan tersebut?

SULAIMAN: Ada empat per­kara yang menimbulkan kemusykilan. Pertamanya jawapan kerajaan negeri dalam Dewan itu sendiri mengelirukan kerana daripada 175 penerima ada 18 nama, nombor kad pengenalan mereka tidak wujud dalam rekod Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bererti palsulah tetapi kenapa kerajaan negeri tutup perkara ini. Apa yang sebenarnya cuba diselindungkan?

Keduanya, majoriti hampir 70 peratus penerima tiada kaitan langsung dengan Sungai Yu. Hanya 61 orang sahaja dari DUN Permatang dan tujuh dari DUN Sungai Burung, ertinya hanya 68 orang sahaja dari Parlimen Tanjung Karang. Selebihnya orang luar iaitu sejauh Batu Kawan (Pulau Pinang), Padang Serai (Kedah), Ipoh Barat dan Kuala Kangsar (Perak), Masjid Tanah (Melaka) dan Rembau (Negeri Sembilan). Soalnya apa istimewa mereka dan apa peranan Jawatankuasa Pemilih ini?

Ketiganya, bagaiamana boleh ada penerima yang tidak menepati syarat ditetapkan kerajaan negeri dapat. Ada penerima me­rupakan individu berpendapatan lebih RM3,000 sebulan iaitu seorang doktor yang tinggal di Ipoh Barat. Pemimpin tempatan PKR yang juga ahli panel pemilihan juga dapat malah pegawai khas kepada Exco dan seorang Ahli Majlis Kuala Selangor juga dapat tetapi akhirnya tarik diri selepas dibantah oleh penduduk. Kalau tiada bantahan?

Kemusykilan keempat ialah penerima daripada ahli keluarga yang sama, ini pada saya cukup tinggi kronisme dia kerana dia juga ahli panel pemilih dalam jawatankuasa. Kita kenal pasti ada tiga keluarga besar yang dapat. Selain dia, isteri, adik-beradik, anak dan ipar dia pun dapat. Dia ambil sembilan lot untuk keluarga dan dia ahli panel.

Seharusnya skandal ini disiasat Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Kete­lusan Selangor (Selcat) tetapi kepemimpinan Mohamed Az­min seperti keberatan untuk menyiasat perkara ini.

SULAIMAN: Sebab itu Azmin perlu buktikan kata-kata beliau di dalam Dewan iaitu akan membatalkan segala tawaran jika terbukti ada penyelewengan. Tapi soalan saya kepada Azmin, beliau nak tunggu siasatan mana? Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) biarlah mereka buat siasatan tetapi atas prinsip ketelusan, skandal ini perlu dirujuk kepada Selcat.

Hari ini jelas dalam isu Sungai Yu ini berlaku skandal dan saya nak tengok sejuah mana ketelusan Azmin ketika Selangor sendiri mempunyai Selcat selaku jawatankuasa tertinggi di peringkat Dewan. Saya ahli Selcat dan saya hendak siasatan lebih awal dilakukan kerajaan negeri atas prinsip ketelusan. Kalau Selcat tidak berani untuk membicarkan skandal ini, lebih baik bubarkan sahaja Selcat.

Kepemimpinan Selangor di bawah Mohamed Azmin kini terpalit dengan pelbagai isu integriti, apa yang boleh Datuk simpulkan?

SULAIMAN: Kepada saya rakyat Selangor perlu buka mata dan nilai sendiri di mana ke­telusan atau adakah ketelusan dalam kepemimpinan Pakatan Harapan termasuk di Selangor ini. Dulu, pembangkang melemparkan fitnah dan pelbagai tohmahan negatif kepada Barisan Nasional (BN) tetapi apabila mereka diberi peluang mentadbir, jelas pelbagai isu salah guna kuasa, rasuah dan penyelewengan berlaku bersi­lih ganti walaupun baharu dua penggal memerintah.