Ini kerana beberapa sindiket dikesan mempromosikan lesen memandu bayar secara terbuka dalam laman sosial dengan harga murah tanpa perlu mengikuti kursus pemanduan atau melalui ujian yang dikendalikan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Sedangkan sebelum lesen di­keluarkan, seseorang pemohon perlu melalui beberapa proses iaitu mengikuti kursus selama tujuh jam di institut memandu bagi mendapatkan lesen L dan amali, praujian (QTI) serta melalui ujian yang dikendalikan JPJ.

Malah, kesemua proses itu akan direkodkan di dalam sistem JPJ dan hanya pelajar yang berjaya melepasi kesemua tapisan akan diberikan lesen.

Namun apa yang mengejutkan apabila sindiket terbabit juga berani menyatakan lesen yang dihasilkan itu ‘sah’ serta berdaftar dalam sistem JPJ, selain boleh diperbaharui selepas tamat tempoh.

Persoalannya, adakah sindiket terbabit boleh memasukkan kesemua data berkenaan ke dalam sistem JPJ bagi membolehkan lesen dikeluarkan secara sah?

Menurut seorang individu yang terlibat dalam kegiatan ter­sebut, pembaharuan serta pendaftaran lesen itu hanya dilakukan di pejabat pos.

“Kita hanya mengemukakan dokumen berkaitan di pejabat pos dan membayar jumlah yang sepatutnya sahaja.

“Pekerja di situ juga tidak mempersoalkan apa-apa dan hanya memproses dokumen yang diberikan,” katanya.

Individu terbabit turut menyatakan bahawa kegiatan yang dilakukannya tidak dapat dikesan pihak JPJ kerana setiap nama direkodkan di dalam sistem.