Serbuan yang bermula pukul 7.45 malam oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Perak itu turut menahan empat lelaki tempatan berusia antara 26 hingga 39 tahun.

Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, sindiket yang dipercayai aktif sejak sebulan lalu itu telah memproses dan mengedar dadah untuk pasaran tempatan dan antarabangsa.

“Dalam serbuan pertama di sebuah kilang kosong di Kawasan Perindustrian Gopeng, sejumlah 676 kilogram dadah disyaki syabu dirampas dan empat lelaki ditahan di kilang tersebut.

“Serbuan kedua di sebuah pangsapuri di Taman Kolej Perdana, Kampar pula merampas pelbagai jenis dadah iaitu 20.4 kilogram disyaki heroin, syabu (2.6 kg), bahan asas heroin (3.6 kg), pil Eramin 5 (4,000 biji) dan 187 kilogram serbuk dan cecair kimia serta sejumlah peralatan memproses dadah,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis daerah di sini, hari ini.

Menurut Mohmad, kesemua dadah yang dirampas boleh diproses serta dibekalkan kepada 3.2 juta penagih.

Selain itu ujarnya, polis turut menyita tiga buah kenderaan iaitu Perodua Myvi, Kia Ce­rato dan Nissan Navara serta pelbagai barangan kemas bernilai RM320,000 dalam serbuan ber­kenaan.

“Semakan mendapati dua daripada empat suspek mempunyai rekod kesalahan lampau melibatkan kegiatan dadah. Namun begitu, hasil ujian air ken­cing mendapati kesemua suspek negatif dadah.

“Suspek kini ditahan reman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 11 Disember depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Tambah Mohmad, rampasan dadah jenis syabu pada tahun ini mencatatkan rekod tertinggi sebanyak 3.8 tan berbanding empat tahun sebelumnya iaitu 3.6 tan.

ends