Kegiatan yang pernah dibongkar oleh pihak berkuasa tempatan di premis sama tahun lalu itu didapati masih beroperasi setelah Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Perjudian dan Gengsterisme (Stagg) menyerbu tujuh rumah urut haram secara serentak di lokasi tersebut malam tadi.

Dalam serbuan kira-kira dua jam bermula pada pukul 8 malam itu, skuad elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) tersebut telah menahan seramai 53 wanita terdiri daripada warga Vietnam, China, Thailand dan Indonesia kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti pelacuran serta tidak mempunyai pasport.

Timbalan Komander Stagg, Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, hasil pemeriksaan mendapati semua pengusaha premis tersebut gagal menunjukkan lesen mengendalikan rumah urut.

“Dalam pada itu, salah sebuah rumah urut pula menawarkan khidmat seks dalam khemah kepada pelanggan dengan bayaran berjumlah RM160.

“Bagi aktiviti seks mereka lakukan dalam khemah manakala untuk urut dengan bayaran RM130 pula dilakukan di dalam bilik biasa,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Khairi berkata, pihaknya turut menahan 19 penjaga premis terdiri daripada 13 warga tempatan dan selebihnya warga asing yang tidak memiliki pasport.

“Polis juga merampas sebanyak 531 keping kondom, minyak urut, bahan pelincir, buku rekod hasil kutipan serta bil-bil berkaitan premis bagi tujuan siasatan.

“Selain itu, kami turut meram pas wang berjumlah RM3,164 bagi tujuan siasatan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram 2001 (AMLA) terhadap penganjur kegiatan berkenaan,” ujarnya.

Menurut Khairi, kesemua yang ditahan dibawa ke Balai Polis Puchong untuk siasatan mengikut Seksyen 372A dan 372B Kanun Keseksaan, Seksyen 55B, Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen, Seksyen 39b Peraturan-peraturan Imigresen dan Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Hiburan Negeri Selangor.