Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Sun Teoh Tia berkata, tangkapan pertama dilakukan terhadap seorang suspek berusia 19 tahun sekitar pukul 9.10 malam di sebuah stesen pam minyak di Peringgit.

Menurutnya, susulan penahanan seorang suspek berusia 21 tahun yang dipercayai dalang sindiket terbabit kira-kira diberkas sejam kemudian di sebuah rumah di Peringgit Jaya.

“Siasatan awal mendapati dalang yang bekerja sebagai pekerja swasta menjual sijil cuti sakit palsu kepada rakannya iaitu pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) dengan harga RM10 serta beberapa suspek lain yang masih bebas dan berpe­ranan mencari pelanggan.

“Sindiket ini dipercayai ber­gerak aktif sejak Jun dengan lebih 300 keping sijil cuti sakit palsu dijual kepada orang ramai di sekitar negeri ini selain Johor dan Ne­geri Sembilan dengan harga RM35 sekeping,” katanya.

Beliau berkata demikian da­lam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial ne­geri, Superintenden Baderul Hi­sham Baharudin; Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr. Rusdi Abd. Rahman dan Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Pe­ringgit, Dr. Rohaiza Roslan.

Teoh Tia berkata, kedua-dua suspek direman, seorang suspek ditahan sehingga esok manakala dalangnya sehingga lusa bagi mem­bantu siasatan sekali gus mengesan saki-baki ahli sindiket.

Beliau berkata, modus operandi mereka adalah menjual sijil cuti sakit palsu yang mempunyai cop nama doktor dan pembeli hanya perlu mengisi sendiri tarikh cuti.

“Polis turut merampas 15 ke­ping sijil cuti sakit palsu daripada kedua-dua suspek termasuk mempunyai cop rasmi Klinik Kesihatan Peringgit dan atas nama Rohaiza berserta jawatan dan nombor siri,” katanya.