Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, operasi bersama dengan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Peguam Negara yang diadakan pada pukul 2.02 pagi tersebut berjaya memintas sebuah kapal tangki yang tertera perkataan ‘Erta’ dan sedang membawa warga Sri Lanka terbabit ke perairan antarabangsa.

Menurut beliau, pihaknya turut menahan sebuah bot nelayan milik nelayan tempatan dengan nombor pendaftaran KTF 6102 yang digunakan untuk mengangkut warga asing terbabit ke atas kapal Erta.

“Pemeriksaan di atas kapal menemukan seramai 131 warga Sri Lanka terdiri daripada 98 lelaki dewasa, 24 wanita, empat kanak-kanak lelaki dan lima kanak-kanak perempuan.

“Turut ditahan tiga lelaki warga Indonesia dan empat rakyat tempatan yang ditemui di atas bot nelayan tersebut. Selain itu, polis juga menahan empat rakyat tempatan di sekitar Johor Bahru dan seorang lagi rakyat tempatan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang kerana disyaki terlibat dalam penyeludupan itu,” katanya. - UTUSAN ONLINE