Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, sindiket yang didalangi lelaki berusia 50 tahun itu juga terlibat dalam pemalsuan pelbagai dokumen lain termasuk pelekat visa pelbagai negara, cop imigresen, pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara Malaysia, lesen memandu dan sijil pendidikan tinggi.

“Dalang utama yang ditahan itu juga telah bekerjasama dengan rakan kongsi warga tempatan untuk membuka pelbagai syarikat terma­suk pengurusan rundingan perniagaan, import eksport tekstil, perniagaan borong dan perkhidmatan insurans.

“Semua syarikat itu bagaimanapun adalah helah bagi mengaburi pihak berkuasa untuk mendapatkan bekalan pekerja asing yang kemudian akan dijualnya kepada syarikat serta pihak lain dengan keuntungan sebanyak RM3,000 hingga RM5,000 bagi setiap pekerja,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Menurut Mustafar, kesemua suspek berumur 25 hingga 50 tahun yang ditahan dalam operasi itu adalah terdiri warga asing dari Bangladesh, Pakis­tan, Indonesia dan Filipina serta seorang lelaki rakyat tempatan.

Beliau berkata, antara rampasan dilakukan terhadap sindiket yang bergerak aktif sejak beberapa tahun lalu itu termasuk 136 pasport palsu, 87 pelekat visa palsu pelbagai negara, dua kereta serta pelbagai mesin dan peralatan untuk pemalsuan dokumen.

“Ratusan pasport palsu yang dirampas itu adalah dari negara Eropah termasuk Perancis, Switzerland selain Kanada, Korea Selatan, China, India, Myanmar, Singapura dan Bangladesh,” katanya.

Menurut beliau, siasatan pihaknya juga percaya sindiket terbabit turut melakukan pemalsuan dokumen bagi me­nguruskan permohonan pekerja asing kategori separuh mahir dengan menggunakan sijil pendidikan Bangladesh palsu.

Katanya, kesemua suspek ditahan untuk siasatan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 (Akta 150), Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan Akta Antipengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

“Sebelum ini kita telah tumpaskan beberapa dalang termasuk Dr. Harun, Dr. Harun 2.0, Profesor dan Abang Bhai, ini merupakan satu ketetapan Jabatan Imigresen untuk terus memburu dalang-dalang dalam kegiatan haram ini,” katanya.