Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, berkata, lelaki berusia 44 tahun yang ditahan itu dipercayai pakar dalam melakukan pengubahsuaian pasport Indonesia, Bangladesh dan Pakistan mengikut kehendak pelanggan.

"Suspek melakukan kerja-kerja pengubahsuaian dokumen secara manual atau tradisional tanpa menggunakan sebarang peralatan canggih.

"Selain daripada pasport, suspek juga membuat pengubahsuaian ke atas dokumen buku nikah dan Surat Perjalanan Laksana Pasport (SPLP) serta menyeludup masuk pasport palsu dari Indonesia untuk tujuan pasaran di negara ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan kursus tamat latihan Pasukan Taktikal Khas Jabatan Imigresen (Pastak) di PGA Ulu Kinta, di sini hari ini.

Menurut Mustafar, hasil soal siasat mendapati, suspek telah menjalankan aktiviti tersebut selama lebih kurang dua tahun dan suspek mendapatkan bekalan pasport dan buku nikah dari Madura, Indonesia.

Katanya, bekalan tersebut akan diseludup masuk secara berperingkat iaitu tiga hingga lima naskah bagi setiap perjalanan dan dibantu oleh rakan-rakan senegaranya.

"Manakala bekalan pelekat Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) pula diperoleh dari satu sindiket pemalsuan dokumen yang beroperasi di sekitar Kuala Lumpur," katanya. - UTUSAN ONLINE