Pengarahnya, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata, operasi penguatkuasaan dijalankan oleh 11 pegawai imigresen dari Unit Quick Response Team (QRT) Putrajaya bermula jam 7 malam semalam.

Menurutnya, dalam operasi tersebut, sebanyak 18 wanita warga asing terdiri daripada 10 warga Vietnam dan lima warga Indonesia berusia lingkungan 20-an bersama dua pekerja premis warga Myanmar serta seorang lelaki tempatan yang bertindak sebagai penjaga premis ditahan.

“Wanita warga asing ini dipercayai menjalankan aktiviti pelacuran dengan bayaran RM178 bagi tempoh 45 minit. Premis ini kerap dikunjungi oleh pelanggan-pelanggan warga asing seperti Belgium, Iran, Jepun dan Korea.

“Penjaga premis turut menggunakan khidmat ‘tonto’ yang akan selalu berada di luar premis untuk mengawasi pergerakan pihak berkuasa dan akan memberi maklumat kepada premis tentang pergerakan pasukan serbuan dan operasi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Khairul Dzaimee memaklumkan, aktiviti pelacuran di premis tersebut masih giat dijalankan walaupun telah beberapa kali diserbu oleh pihak penguatkuasa sebelum ini.

“Kita juga mengesan warga asing yang terlibat dapat mengumpul wang dalam jumlah yang besar melalui kegiatan maksiat atau pelacuran seperti ini tanpa rasa takut terhadap pihak berkuasa dan juga undang-undang,” ujarnya.

Tambah beliau, kesemua tahanan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Putrajaya untuk siasatan dan tindakan susulan atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (Atipsom), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. - UTUSAN ONLINE