Suspek utama berusia 53 tahun itu ditahan di sebuah premis di Tumpat, Kelantan dekat sini Rabu lalu susulan penahanan dua individu yang merupakan ejen serta pembantunya dan kedua-duanya yang berusia 40 tahun turut dikesan menggunakan gelaran Datuk palsu.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Shamsul Amar Ramli berkata, pada mulanya polis menahan seorang ejen pelaburan tersebut yang menjalankan kerja-kerja pentadbiran di sebuah hotel bajet di Bukit Tinggi di sini dan siasatan ke atas komputer riba miliknya menemukan transaksi pembayaran mangsa.

Menurut Shamsul Amar, hasil soal siasat ke atas lelaki itu seterusnya telah membawa kepda penahanan dua lagi individu iaitu seorang lelaki menggunakan gelaran Datuk palsu di Kg. Baru Subang iaitu ketua pelaburan di negeri ini, manakala seorang lagi merupakan dalang utama di Tumpat, Kelantan.

“Siasatan mendapati ejen pelaburan terbabit telah menetap di hotel tersebut dari bulan Januari tahun ini lagi dan sindiket tersebut sudah aktif sejak 2016, dengan lebih 2,000 orang awam sudah menjadi mangsa membabitkan kerugian jutaan ringgit,” katanya dalam sidang akhbar hari ini. - UTUSAN ONLINE