Ini kerana dua buah kereta jenis Volvo yang turut musnah adalah kereta klon yang disita pada 18 Di­sember lepas dan 30 Januari lalu.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JPJ, Datuk Wan Ahmad Uzir Wan Sulaiman berkata, dua buah kereta itu diletakkan di tempat letak kereta di Stesen Penguatkuasaan JPJ Kuala Kangsar sementara me­nunggu tindakan lanjut.

“Daripada laporan awal yang kami terima daripada pihak polis, ada kesan ceroboh pada pagar di bahagian tepi jalan kawasan ber­kenaan.

“Selain tiga kenderaan JPJ, turut terlibat adalah dua buah kereta yang disita, jadi tidak mustahil kejadian ini ada kaitan dengan sindiket kereta klon," katanya kepada pemberita selepas menjalankan Op Tanjung di Valdor dekat Sungai Bakap, di sini hari ini.

Beliau mengulas kejadian tiga kenderaan JPJ membabitkan dua­ Toyota Fortuner dan satu Ford Ranger hangus terbakar 90 peratus manakala dua kereta klon terbabit terbakar 70 peratus dalam kejadian di Stesen Pe­nguatkuasaan Kuala Kangsar, Perak semalam.

JPJ sebelum ini juga mengisytiharkan perang habis-habisan terhadap sindiket seperti tonto dan penyeludupan kereta klon ke negara ini termasuk menubuhkan Pasukan Tindakan Khas bagi menanganinya.

Sementara itu, Wan Ahmad Uzir menambah, pihaknya juga telah menyerahkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang terdapat di stesen itu kepada polis untuk siasatan dan beberapa maklumat dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan.

Selain itu, jelas beliau, pihaknya turut menubuhkan unit keselamatan di ibu pejabat dan peringkat negeri untuk meningkatkan ke­selamatan dalam premis.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, Op Tanjung yang bermula pada 29 Januari lepas hingga hari ini adalah bagi mengambil tindakan terhadap pemandu kende­raan berat yang membawa muatan berlebihan.

“Hasil pemeriksaan didapati sebahagian besar pemandu telah me­lakukan kesalahan dengan lebihan muatan antara 20 hingga 70 peratus dari had yang dibenarkan untuk kenderaan 24 hingga 60 tan itu.

“Sepanjang tempoh operasi ber­kenaan sebanyak 56 notis dikeluarkan dengan 36 melibatkan lori,” ujarnya.