Itulah modus operandi sindiket berkenaan yang membekalkan buku sijil cuti sakit mengandungi 50 helaian lengkap dicop dan bertandatangan pegawai perubatan kepada ahlinya dengan harga serendah RM200.

Lebih mengejutkan, sindiket terbabit yang turut dianggotai oleh kakitangan swasta serta kerajaan di seluruh negara akan menawarkan sijil cuti sakit kepada pekerja lain di syarikat dan agensi anggota berkenaan bekerja.

Setiap helaian akan dijual pada kadar RM20 hingga RM50 malahan ada mencecah RM100 bagi sijil cuti sakit hospital dan lengkap ditandatangan oleh pegawai perubatan kerajaan kerana didakwa nilainya lebih tinggi berbanding klinik dan hospital swasta.

Difahamkan, sindiket berkenaan dipercayai kembali aktif sejak awal tahun ini selain menggunakan cop pengesahan dan tandatangan pegawai perubatan dari hospital kerajaan antaranya Hospital Kuala Lumpur (HKL); Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang, Selangor.

Menurut sumber, sindiket terbabit dikesan menyalahgunakan nama dan jawatan pegawai perubatan dengan membuat cop palsu sebelum menjualnya manakala tandatangan pula ditiru.

“Kita percaya bahawa kegiatan ini dilakukan oleh pekerja-pekerja hospital terbabit dan tidak menolak kemungkinan ada juga dilakukan orang awam yang pernah mendapatkan khidmat pegawai perubatan berkenaan.

“Kegiatan itu juga menyebabkan pekerja tidak perlu menggunakan pelbagai alasan sakit bagi mendapatkan sijil cuti sakit di klinik-klinik swasta,” katanya kepada S2 di sini baru-baru ini.

Jelas sumber, kebiasaannya, sijil cuti sakit tersebut dijual kepada golongan yang benar-benar terdesak untuk cuti sedangkan tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk tidak hadir bekerja.

Tambah sumber, sindiket akan menawarkan harga buku sijil cuti sakit lebih rendah kepada ahlinya bergantung kepada jumlah pembelian.

“Jika ahli mereka membeli secara pukal, buku tersebut akan dijual serendah RM100, maknanya lebih banyak keuntungan ahli mereka.

“Bayangkan jika ahli itu kemudiannya menjual RM50 sekeping, keuntungan yang boleh diperoleh bersamaan RM2,500,” ujarnya.