Menerusi serbuan pukul 10 malam itu, kesemua individu warga China ditahan sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Anti Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D-7) Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hasil maklumat dan risikan selama dua minggu.

Pegawai Turus D7 Jabatan Siasatan Jenayah IPK Johor, Deputi Superitenden Mohd. Zairi Badderul berkata, mereka berperanan menarik pelanggan-pelanggan di China untuk mempromosikan perjudian dalam talian melalui laman web seperti d. kingdou.cn dan www.pcdd.inwww28t.com.

Menurut Mohd. Zairi, kesemua yang ditahan adalah pekerja berusia antara 16 hingga 47 tahun termasuk wanita mencari pelanggan dengan memperdaya mangsa sehingga jatuh cinta sebelum memerangkap mereka menyertai judi secara dalam talian menerusi aplikasi wechat.

“Siasatan juga mendapati sindiket berkenaan menjadikan warga China sebagai mangsa mereka dan pembayaran juga dibuat menggunakan matawang China.

“Pusat panggilan itu dipercayai aktif sejak sebulan lalu dan beroperasi dengan tiga syif berterusan 24 jam,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Katanya, hasil serbuan itu, sebanyak 118 buah komputer riba, 287 telefon bimbit dan 77 buah buku yang mengandungi skrip penipuan dirampas.

Jelasnya, kesemua suspek tidak mempunyai dokumen pengenalan ditahan di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan dan disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (2) g Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dan Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 kerana gagal mengemukan sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Sekiranya disabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang daripada RM5,000 dan tidak lebih daripada RM50,000 dan juga dihukum penjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun. - UTUSAN ONLINE