Keuntungan sindiket perjudian dalam talian menerusi 11 laman sesawang perjudian itu terbongkar selepas Bahagian Kongsi Gelap, Perjudian dan Maksiat (D7) melakukan serbuan di sebuah kondominium di Pandan Indah, dekat sini hari ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, menerusi serbuan tersebut, seramai 15 orang warga asing terdiri daripada tujuh lelaki dan lapan wanita berusia di antara 16 hingga 32 tahun ditahan.

“Kesemua mereka berperanan sebagai pengendali laman sesawang serta pengurus wang pertaruhan kaki judi.

“Turut dirampas dalam serbuan ini adalah enam unit komputer, beberapa unit telefon bimbit serta beberapa nombor akaun daripada bank-bank tempatan,” Katanya dalam sidang akhbar selepas serbuan tersebut, di sini hari ini.

Menurut Fadzil, sindiket itu dipercayai telah beroperasi sejak setahun lalu dan menjadikan dua buah unit kondominium di kawasan itu sebagai pusat operasi kegiatan mereka

Beliau memberitahu, siasatan awal mendapati pada bulan Disember tahun lalu, satu daripada 11 laman sesawang itu berjaya mengumpul wang pertaruhan berjumlah RM1.6 juta.

Tambah beliau, kesemua yang ditahan kini disiasat di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - UTUSAN ONLINE