Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd. berkata, mereka menyalahgunakan lesen PHK dan kedai permainan interaktif yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan akti­viti haram itu.

Menurutnya, tahun lalu PBT terlibat sudah disarankan supaya membatalkan semua lesen berkaitan PHK berunsur perjudian tetapi tahun ini Kerajaan Negeri Selangor dan agensi tempatan di bawahnya tetap mengeluarkan lesen tersebut.

“Malah lesen baharu yang menjurus kegiatan perjudian seperti kedai permainan in­teraktif turut dikeluarkan mereka,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan premis PHK dan kedai perma­­in­an interaktif itu didapati menggunakan mesin simulator yang sememangnya menjurus aktiviti perjudian.

Dalam pada itu, Wan Ahmad berkata, pihaknya tidak berhenti meneruskan operasi membanteras perjudian tersebut sejak Op Dadu Khas dilancarkan September tahun lalu di seluruh negara.

Jelasnya, operasi itu memberi kesan positif apabila kesemua mereka yang didapati mengan­jurkan perjudian tersebut dikenakan tindakan dibawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Kita masih meneruskan operasi tersebut tahun ini dengan menggunakan pelan strategik bagi mengesan serta mendakwa pihak yang terlibat menganjurkan perjudian itu,” katanya.

Menurutnya, bermula awal Januari hingga 10 Februari lalu, sebanyak sembilan sindiket perjudian dikenakan tindakan di bawah POCA, sebanyak 1,585 serbuan dibuat dan sebanyak 4,247 individu ditahan selain merampas wang tunai berjumlah RM533,097.

“Kita juga merampas seba­nyak 723 mesin judi dan 529 ta­blet serta telefon bimbit di seluruh Lembah Klang dan Selangor yang mencatat kejayaan serbuan ter­tinggi dan membabitkan nilai rampasan terbesar setakat ini,” katanya.