Sindiket yang dipercayai telah bergiat aktif di Lembah Klang sejak beberapa bulan lalu itu akan mengikat syabu pada badan keldai dadah terbabit dan menggunakan hotel sebagai tempat mereka membalut serta membungkus syabu terbabit.

Sindiket itu turut dipercayai menggunakan beberapa rumah sebagai transit untuk persediaan keldai dadah sebelum berlepas ke Taiwan dan segala kemudahan seperti tempat tinggal, makanan serta pakaian disediakan.

Bagaimanapun sindiket terbabit akhirnya tumpas selepas tertangkapnya 14 suspek termasuk 12 remaja bersama syabu bernilai RM569,008 dalam empat serbuan pada 13 dan 14 Disember lalu.

Timbalan Ketua Polis Sela­ngor, Datuk Ab. Rashid Ab. Wahab berkata, serbuan pertama melibatkan penahanan dua lelaki tempatan masing-masing berusia 39 dan 16 tahun bersama syabu bernilai RM295,348 pada 13 Di­sember lalu kira-kira pukul 9.40 pagi di KLIA.

Menurutnya, suspek berjaya dikesan oleh polis KLIA selepas berkelakuan mencurigakan dan hasil pemeriksaan mendapati terdapat 16 bungkus plastik berisi dadah dipercayai syabu ditemukan diikat pada kaki mereka.

“Susulan daripada tangkapan itu, pada 14 Disember lalu kira-kira pukul 1 pagi, sepasukan polis telah memantau dan menahan seorang lelaki warga tempatan dipercayai ahli kumpulan sindiket itu di sebuah hotel di Damansara dan berjaya merampas syabu seberat 1.5 kg.

“Sebuah lagi hotel di Petaling Jaya turut diserbu pada hari sama dan berjaya menemukan syabu seberat 156 gram dengan anggaran nilai rampasan dadah dalam dua serbuan itu ialah RM273,660,” katanya dalam satu sidang akhbar di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ab. Rashid memberitahu, siasatan lanjut ter­hadap suspek akhirnya membawa kepada penangkapan 11 lagi remaja warga tempatan berumur antara 14 hingga 21 tahun yang dipercayai bakal dijadikan keldai dadah.

Beliau berkata, mereka yang ditahan itu terdiri daripada sembilan lelaki serta dua wanita dan kesemuanya ditahan di sebuah apartmen di Cheras pada 14 Di­sember lalu.

“Siasatan lanjut masih lagi dijalankan dan setakat ini kita masih belum dapat memastikan punca bekalan dadah itu diperoleh. Namun, pasarannya ialah untuk negara Taiwan kerana harga syabu di negara itu enam kali ganda lebih tinggi daripada harga pasaran tempatan,” jelasnya.

Tambah Ab. Rashid, kesemua 14 suspek yang ditahan kini ditahan reman sehingga 26 dan 27 Disember ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.