MOHAMAD FUZI HARUN
MOHAMAD FUZI HARUN

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun, perkara tersebut hasil siasatan lanjut yang telah dilakukan pihak polis terhadap sembilan daripada 48 individu yang dipercayai anggota FTF yang telah ditahan dari Januari sehingga tiga hari lepas.

Menurut Mohamad Fuzi, sindiket itu juga dipercayai turut menggunakan ruang belajar di institusi agama di negara ini untuk membawa masuk pengganas dengan menggunakan visa pelajar.

“Kita dah tahan sembilan orang di Selatan Filipina yang dipercayai Kumpulan Abu Sayyaf (ASG). Ada antara individu ini menggunakan pas pelajar atau dokumen palsu untuk menyelusup masuk ke negara kita.

“Sehingga kini kita juga sedang mengesan pelajar asing lain yang turut terlibat dengan kerjasama institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini untuk membendung dan mengekang perkara ini daripada terus berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Hari Sukan Negara peringkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) 2017 di Sekolah Mene­ngah Kebangsaan (SMK) Sultan Muzaffar Shah 1, Lambor Kanan dekat sini.

Yang turut hadir, Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Abdul Ghafar Rajab dan Ketua Polis Perak, Datuk Hasnan Hassan.
Semalam, polis mengesahkan telah menahan 45 individu sejak Januari hingga 6 Oktober lalu serta tiga lagi, tiga hari lalu yang dipercayai FTF.

Mohamad Fuzi berkata, polis sedang menjalankan siasatan terperinci terhadap pembabitan sindiket terlibat dalam membawa masuk FTF ke negara ini.

“Malaysia sekarang menjadi salah satu negara tumpuan untuk dijadikan pangkalan operasi FTF selepas pangkalan mereka di Syria dan Iraq ditumbangkan.

“Justeru, bukan sahaja IPT, kita juga bekerjasama mantap dengan agensi perisikan dan penguatkuasaan asing untuk mengesan serta memben­dung kehadiran FTF ke negara kita,”katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, semua 120,000 anggota polis di negara ini telah bersedia dengan Program Trim & Fit yang akan dikuat kuasakan sepenuhnya pada 1 Januari depan.

“Kalau anggota tidak sihat, tidak fit, kita tidak akan bagi pertimbangan untuk dia dinaikkan pangkat. Walaupun ini sensitif isu, namun mereka kena akur dengan arahan yang diberikan kerana kita tegas dengan ketetapan yang dibuat,’’ katanya.