Ketua Polis Daerah, Superintenden A. Asmadi Abdul Aziz berkata, kesemua dadah berkenaan dirampas susulan penangkapan seorang suspek lelaki berusia 37 tahun di sebuah rumah dekat Kampung Pulau, Durian Tunggal di sini pada pukul 2.15 pagi. 


Menurutnya, antara dadah yang dirampas termasuk heroin seberat 1,840 gram, ketamin (2,940 gram) dan 1,300 biji pil ekstasi selain wang tunai RM9,000 dipercayai hasil jualan bahan terlarang tersebut. 


“Semasa serbuan, pintu rumah berkenaan dibuka oleh ibu suspek berumur 63 tahun yang kemudian menunjukkan kepada pihak polis bilik didiami anaknya itu. 


“Suspek yang ketika itu berada dalam bilik tersebut tidak dapat melarikan diri dan ditahan bersama bekalan dadah dipercayai baharu dibungkus semula kepada paket-paket kecil untuk diedarkan di luar Alor Gajah,” katanya ketika sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, di sini sebentar tadi.


Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Superintenden Ahmad Mazlan Abd. Rahman dan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah, Inspektor Muhamad Amin Padzil. 


Jelas Asmadi, suspek yang bekerja sendiri kini direman selama tujuh hari sehingga 10 Januari ini bagi siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mati jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLIN