Selain itu, polis menahan 16 orang termasuk lapan daripada­nya ahli kongsi gelap Geng 36 dalam operasi berasingan di Nege­ri Sembilan dan Selangor.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, dalam operasi pertama pada 13 Februari lalu, pihaknya melakukan enam serbuan di dua negeri itu dan menahan 12 ahli sindiket melibatkan rakyat tempatan dan warganegara India.

Menurut beliau, salah satu lokasi yang diserbu ialah sebuah ladang ternakan lembu disyaki dijadikan makmal memproses dadah jenis syabu di Kampung Kundur Tengah, Pedas di sini.

Katanya, pelbagai jenis peralatan dan bahan kimia untuk memproses dadah dirampas iaitu sebanyak 84 kilogram (kg) cecair Metha­phetamine yang boleh menghasilkan 33.6 kg syabu di lokasi berkenaan.

“Dalam serbuan di Bandar Teknologi Kajang, Selangor pula kita merampas 71.1 kg serbuk disyaki dadah, 148.5 kg cecair disyaki dadah, 105 kg ketulan disyaki dadah dan pelbagai bahan kimia untuk memproses dadah.

“Polis kemudian merampas sebanyak 26.52 kg disyaki dadah jenis syabu dalam serbuan di Taman Cempaka, Ampang,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Daerah Rembau di sini hari ini.

Katanya, dalam operasi kedua sehari selepas itu, polis mela­kukan dua serbuan di Bukit Jelutong, Shah Alam dan menahan empat suspek berumur 30 hingga 40 tahun serta merampas ganja seberat 47.3 kg.

Jelasnya, dalam kedua-dua operasi itu, pihak polis menyita tujuh buah kereta, sebuah motosikal, wang tunai sebanyak 4,660 Rupee, wang tunai RM4,721 dan lima akaun bank yang dibekukan dengan nilai keseluruhan sitaan RM323,000.

Sementara itu dalam satu sidang akhbar di MELAKA, Moh­mad berkata, polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah terbesar di negeri ini membabitkan nilai RM3.7 juta dipercayai dadah jenis syabu seberat 52.82 kg yang dibungkus dalam pembalut teh baru-baru ini.

Katanya, dalam dua serbuan berasingan antara pukul 2.30 pagi hingga 6.30 petang itu, lapan suspek warga tempatan termasuk tiga wanita turut ditahan.