Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, dalam serbuan kira-kira pukul 4 petang hingga 4.40 petang itu, sepasukan anggota dan pegawai JS JN bersama Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) menahan tiga warga tempatan disyaki sebagai dalang pengedaran dadah tersebut.

Menurut Mohmad, keseluruhan rampasan dadah jenis syabu adalah sebanyak 201.3kg bernilai RM14.1 juta dan pihaknya turut menyita kenderaan bernilai RM150,000 iaitu jenis Toyota Hilux, Toyota Vios serta Proton Waja bersama wang tunai yang dimiliki suspek.

“Dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Ayer Keroh, dua lelaki tempatan berusia 32 dan 34 tahun ditangkap bersama 201.3kg dadah disyaki syabu dan mereka ini tidak mempunyai rekod jenayah, tetapi didapati positif mengambil dadah jenis ‘Methamphetamine’.

“Serbuan kedua di sebuah lagi rumah juga di Ayer Keroh, seorang lagi lelaki tempatan berusia 47 tahun ditangkap dan suspek juga tiada rekod jenayah manakala hasil ujian air kencing terhadap­nya negatif,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang dan Ketua Polis negeri, Datuk Abd. Jalil Hassan.

Difahamkan, lokasi rampasan menjadi tempat simpanan dadah dan tempat tinggal suspek yang menyewa kediaman itu.

Pada masa sama, Mohmad memberitahu, ketiga-tiga suspek kini direman selama tujuh hari sehingga 10 Mac ini mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah bagi membolehkan siasatan lanjut di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit ke­salahan, boleh dihukum gantung sampai mati.

Sementara itu, beliau memaklumkan JSJN telah mengadakan tujuh operasi bagi mengekang pengedaran dadah dalam negara dan merampas sejumlah 455.1kg dadah disyaki syabu sejak 1 Janua­ri hingga 3 Mac lalu.

“Untuk suku pertama tahun 2018 setakat ini, turut dirampas sebanyak 318,043 biji dadah disyaki pil ekstasi di mana nilai keseluruhan rampasan dadah sebanyak RM41.35 juta dan kita percaya rampasan ini adalah untuk pasaran antarabangsa,” katanya.