Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Mohmad Salleh berkata, serbuan pertama dilakukan di Telok Bahang di sini yang mana seorang lelaki ditahan bersama dadah tersebut.

Menurut beliau, ekoran penahanan itu, polis kemudian me­nyerbu beberapa buah rumah lain termasuk di Bayan Lepas di sini serta di Langkawi, Kedah dan menahan enam orang suspek.

Ujarnya, kesemua suspek itu terdiri daripada empat warga tempatan berumur 25 hingga 51 tahun termasuk seorang wanita serta dua rakyat asing berusia antara 25 dan 35 tahun yang disyaki sebahagian daripada anggota sindiket dadah.

“Daripada siasatan awal, kita mendapati dadah ini cuba dihantar ke Sumatera melalui Selat Me­laka dan disyaki ia dibawa masuk dari negara jiran melalui jalan darat.

“Kita juga percaya ada segelintir daripada anggota sindiket ini yang masih bebas. Kita sedang giat menjejaki mereka dan yakin mereka telah menjalankan aktiviti mengedar dadah ini dalam tempoh yang agak lama,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohmad memberitahu, operasi yang bermula pada pukul 3.15 petang itu turut mendapat bantuan Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING), pasukan udara dan marin serta Jabatan Siasatan Jenayah negeri.

Jelasnya, polis turut membekukan akaun bank bernilai RM1.28 juta selain merampas lapan kenderaan bernilai RM618,500, barang kemas (RM28,000) dan jam tangan (RM4,000) dalam serbuan terbabit.

Tambah beliau, kesemua suspek direman sehingga 9 Mei ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah untuk siasatan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.