Lelaki berusia 27 tahun yang merupakan perancang utama kegiatan itu diberkas pada 28 Oktober lalu di Klang, Selangor dan diikuti penangkapan seorang lagi lelaki warga Pakistan berusia 51 tahun di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, kumpulan itu aktif melakukan kegiatan tersebut sejak September lalu melibatkan tiga kes di kawasan Perak Tengah. 

Katanya, dalam ketiga-tiga kes tersebut, sebanyak 21 buah komputer riba dan telefon bimbit dilaporkan hilang dengan anggaran kerugian sebanyak RM34,000.

“Hasil soal siasat yang dilakukan, kita berjaya merampas empat buah komputer riba, tiga telefon bimbit, buku resit, peranti
Smart Tag dan sebuah kereta jenis Toyota Altis yang digunakan suspek untuk melakukan jenayah pecah rumah.

“Siasatan juga mendapati, kumpulan tersebut turut mengaku melakukan jenayah sama di negeri lain iaitu di Kuala Lumpur, Kedah dan Pulau Pinang dengan menyasarkan rumah sewa pelajar sebagai sasaran,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Perak Tengah di sini hari ini.

Mohamad Zainal berkata, siasatan terhadap lelaki warga Pakistan itu mendapati suspek bertindak sebagai pembeli barang curi itu dan menjualnya semula pada harga RM750 hingga RM800 bagi sebuah komputer riba manakala suspek berusia 27 tahun itu pula mempunyai tujuh rekod lampau bersabit kes pecah rumah.

Beliau memberitahu, pihaknya kini sedang mengesan tiga suspek lain kes tersebut berusia lingkungan 20-an yang salah seorangnya juga merupakan pembeli barang-barang curi berkenaan.

“Berdasarkan pengakuan suspek utama, dia melakukan tujuh kes sama di luar Kontinjen Perak. Komputer riba yang dicuri itu akan dijual di Kuala Lumpur dimana telah ada pembeli tetap untuk barang itu. 

“Kedua-dua suspek kini ditahan reman dan selepas siasatan selesai dilakukan, mereka akan diserahkan kepada kontinjen lain untuk siasatan lanjut,” katanya. - UTUSAN ONLINE