Turut direman untuk membantu siasatan kes berkenaan ialah isteri suspek yang berusia 34 tahun.


Perintah reman tersebut dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Georgetown, Muna Maria Azmi hari ini.


Suspek berusia 41 tahun itu ditahan di hadapan sebuah kedai di Jalan Paya Terubong, di sini kira-kira pukul 10 pagi semalam selepas lebih seminggu melarikan diri.


Ketika ditahan, suspek berada bersama isterinya yang turut melarikan diri selepas kejadian tersebut bersama anak bongsu mereka.


Dalam kejadian 27 Disember lalu, suspek dikatakan bertindak di luar batasan terhadap anak perempuannya yang berusia sembilan tahun itu kerana berang selepas mendapati makanan di rumah mereka dihabiskan empat anaknya.


Difahamkan, kejadian itu berlaku ketika suspek yang bekerja sebagai ejen jualan kad prabayar baru pulang dari bekerja kira-kira pukul 1 pagi.


Selain memarahi dan memukul anak-anaknya, suspek juga didakwa menyimbah semangkuk air panas yang diambil dari penapis minuman yang terletak di bahagian ruang tamu rumah mereka ke arah mangsa.


Kejadian itu dikatakan disaksikan anak-anak serta isterinya, namun isteri suspek hanya melihat dan tidak menghalang tindakan suspek tersebut. - UTUSAN ONLINE