Timbalan Ketua Pesuruhjaya Operasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Azam Baki berkata, tempoh siasatan akan dipanjangkan kerana melibatkan Pejabat Peguam Negara di Australia.

Namun katanya, setakat ini pihaknya belum menerima maklum balas daripada pejabat peguam negara berkenaan dan proses mendapatkan kerjasama itu dijangka mengambil masa yang lama.

“Setakat ini 24 saksi sudah dipanggil dan kami menjalankan siasatan di lebih tujuh lokasi premis termasuk pejabat peguam, penilai dan pejabat Mara serta yang berkaitan dengannya selain banyak dokumen sudah dirampas.

“Kes ini berkaitan dengan siasatan kes pembelian hartanah di Australia yang kita buka siasatannya pada tahun 2015 dan ini merupakan kesinambungannya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Mesyuarat Operasi Bersama Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abd. Ghani dan Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias di Hotel Puteri Pacific, di sini hari ini.

Pada 24 Mac lalu, media melaporkan dua bekas pegawai kanan syarikat itu yang bergelar Datuk dan seorang pengarah syarikat direman tujuh hari bagi membantu siasatan berhubung kontroversi tersebut sebelum dibebaskan tujuh hari kemudian dengan jaminan RM10,000.

Isu itu mendapat perhatian apabila akhbar Australia, The Age melaporkan seorang pegawai atasan Mara, pegawai kanan dan bekas ahli politik didakwa membelanjakan jutaan ringgit dana kerajaan untuk membeli sebuah blok pangsapuri di Melbourne pada 2013.

Sayap pelaburan Mara ber­kenaan terjebak dengan kontroversi apabila akhbar tersebut mendakwa mereka membeli bangunan lima tingkat itu dengan harga lebih tinggi daripada harga pasaran.