Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, siasatan kini sudah 90 peratus lengkap dan pihaknya hanya memerlukan beberapa lagi butiran bagi melengkapkan kertas siasatan tersebut.

“Kita akan serahkan kertas siasatan dalam minggu ini juga kepada Timbalan Pendakwaraya untuk tindakan selanjutnya.

“Setakat ini hasil siasatan mendapati hanya pengasuh yang berusia 33 tahun sahaja terlibat dan akan disambung reman esok,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sambutan Aidilfitri Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, dekat sini hari ini.

Minggu lalu, Adam Rayqal yang berusia lima bulan didakwa dilarikan seorang lelaki oleh pengasuhnya yang ber­usia 33 tahun dari rumah wanita itu di Jalan Nakhoda Kiri Tiga, Kampung Nakhoda, Batu Caves dekat sini pada pukul 6.30 petang menyebabkan ibu bapanya, Mohd. Sufi Naeif Mohd. Fauzi, 28, dan Farrah Madihah Othman, 28, membuat laporan polis.

Bagaimanapun penipuan suspek terbongkar selepas memberi keterangan meragukan dan wanita itu akhir­nya membawa polis ke rumahnya dan pemeriksaan yang dilakukan menemukan mayat mangsa di dalam peti sejuk.

Ketika ditemukan pada kira-kira pukul 11 malam, mayat mang­sa lengkap berpakaian, dibalut dengan lampin dan disumbat di dalam beg kitar semula berwarna hijau yang merupakan beg pakaian­nya.-UTUSAN ONLINE