Timbalan Perdana Menteri berkata, beliau memandang serius dakwaan tersebut dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pegawai polis atau pegawai penguatkuasaan agensi lain yang bersekongkol dengan sindiket perjudian.

Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, ketegasan PDRM dalam memerangi sindiket perjudian haram boleh dilihat menerusi arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun sebelum ini.

“Saya akan siasat kalau laporan itu (PR jadi orang tengah sindiket judi haram) adalah benar.

“Tetapi sebagaimana yang kita ketahui, Ketua Polis Negara telah mengeluarkan arahan tetap bahawa beliau tidak akan pernah berkompromi, apatah lagi memberi perlindungan terhadap mana-mana pegawai polis atau pegawai penguatkuasaan lain yang bersekongkol dengan sindiket perjudian dalam apa bentuk sekali pun termasuk judi atas talian,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di Mes Pegawai IPK Sarawak di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan eks­klusif Mingguan Malaysia hari ini yang melaporkan terdapat orang tengah digelar sebagai PR dalam sindiket judi haram di negara ini memainkan peranan amat penting demi memastikan kelangsungan rangkaian sindiket terbabit terus beroperasi.

Menurut laporan tersebut, kumpulan terbabit bertindak sebagai ‘jambatan penghubung’ antara sindiket dan agensi pe­nguatkuasaan yang dibayar bagi melindungi premis dan kegiatan haram sindiket berkenaan daripada dikenakan tindakan.