Menurut Ketua Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Datuk Dr. Abdul Halim Mohd Hussin, rekod menunjukkan ketiga-tiga kawasan segi tiga emas itu, terkenal dalam kalangan penagih apabila banyak urusan jual beli dadah berlangsung di kawasan berkenaan.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut dan sekadar menambah, AADK dan pihak berkuasa akan terus membuat pemantauan secara berkala di ketiga-tiga kawasan itu bagi mengawal keadaan.

"AADK akan jalankan pemantauan dan pemeriksaan dari semasa ke semasa bagi mengurangkan kes penyalahgunaan dadah kerana kami percaya kaedah merawat adalah lebih baik," kata Abdul Halim dalam satu sidang akhbar, hari ini.

Terdahulu, AADK menahan 16 lelaki berumur antara 19 dan 58 tahun kerana disyaki penagih dadah dalam 'Op Keramat' yang berlangsung selama dua hari dan berakhir hari ini di sekitar Keramat.

"Kebanyakan mereka yang ditahan adalah OKP (orang kena pengawasan) dan kita sedang mengesan OKP lain yang masih menagih," tambah beliau.

Operasi khas itu membabitkan 25 anggota penguat kuasa AADK Wilayah Persekutuan dan daerah yang turut berkunjung ke kediaman OKP untuk meninjau perkembangan mereka.

Abdul Halim berkata, pemeriksaan lanjut mendapati 12 daripada lelaki itu positif dadah antaranya ganja serta mengambil pil khayal seperti Methamphetamine dan opiate.

"Dadah jenis Meth dan opiate ini mudah didapati dan murah. AADK mengambil langkah menahan mereka bagi mengelakkan mereka terus terlibat dan menjadi penagih dadah," kata Abdul Halim yang turut menambah, ada kalangan ditahan itu bekerja sebagai penghantar surat dan pemandu. - BERNAMA