Kesalahan wanita berusia 40-an itu dikesan oleh penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi pelaksanaan Operasi Khas Pengarah Siri 2, di sekitar Jalan Hamzah, di sini kira-kira pukul 10 pagi ini.

Ketika melalui sekatan jalan raya tersebut, dia juga dikatakan cuba mengelak daripada ditahan dengan cara mengundurkan kenderaan dipandu namun berjaya dihalang anggota JPJ yang bertugas.

Timbalan Pengarah JPJ negeri, Mohd. Apandi Jusoh, pemeriksaan lanjut yang dijalankan mendapati wanita itu cuba melarikan diri kerana sedar dia sedang melakukan kesalahan berat.

Katanya, wanita terbabit didapati melakukan lima kesalahan iaitu lesen memandu dan cukai jalan tamat tempoh sejak 2017, tiada insurans, tiada Lesen Kenderaan Awam (PSV) serta tiada permit pemeriksaan berkala bagi pengangkutan awam daripada Puspakom.

“Ketika disoal siasat, dia mendakwa mahu membawa bas ke bengkel tapi kita percaya itu hanya alasan sahaja kerana terdapat bekalan makanan bersamanya. Dia mungkin dalam perjalanan mengambil pelajar sekolah.

“Susulan itu, bas miliknya terpaksa disita oleh JPJ untuk dihantar kepada Puspakom bagi menjalani pemeriksaan lanjut,” katanya ketika ditemui pemberita selepas operasi tersebut.

Dalam pada itu, Mohd. Apandi memberitahu, operasi tersebut yang bermula pukul 9.30 pagi hingga 12.30 tengahari melibatkan 21 anggota JPJ dan dalam tempoh tersebut, pihaknya menyita sebuah bas, sebuah kereta dan tujuh motosikal yang sudah tamat cukai jalan.

“Sebanyak 150 notis saman dikeluarkan oleh JPJ kerana pelbagai kesalahan dan kesalahan paling banyak adalah tiada lesen memandu.

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, sebanyak 21,832 saman telah dikeluarkan JPJ Kelantan kerana pelbagai kesalahan dengan kesalahan tiada lesen memandu sahaja sebanyak 7,539 kes,” katanya. - UTUSAN ONLINE