Serbuan dilakukan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) dan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN)Ibu pejabat Polis Daerah Wangsa Maju 

Antara ditahan adalah seorang wanita berusia 27 tahun merupakan penganjur, seorang ahli kongsi gelap mempunyai tatu 08 di bahu kiri dan 115 pengunjung berusia antara 20 hingga 30 tahun. 

Timbalan Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Deputi Superintenden Muhammad Najib Hamzah berkata, hasil siasatan awal mendapati penganjur menggunakan medium media sosial Facebook untuk ‘menarik' pengunjung bagi menyertai 'private party' dengan syarat bayaran serendah RM30.

Menurutnya, ketika serbuan, sebanyak 314 individu diperiksa dan mendapati 115 daripada mereka positif dadah. 

"Kesemua ditahan direman empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 52(3)Akta Pertubuhan 1966.

"Hasil siasatan mendapati premis hiburan itu disewa penganjur harga RM12,000,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini. 

Menurut Muhammad Najib, pihaknya turut merampas wang tunai, minuman keras dan peralatan muzik. 

Tambahnya, siasatan masih dijalankan bagi mengesan sama ada terlibat sebarang aktiviti penjualan dadah atau seks.- UTUSAN ONLINE