Sebaliknya, langkah itu dibuat berdasarkan kepada laporan yang dibuat dengan disokong asas kukuh selain siasatan terperinci oleh SPRM dalam merungkai sesuatu isu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad berkata, pe­nahanan dan serbuan yang di­lakukan melibatkan semua peringkat sama ada ahli korporat, penjawat awam sehinggalah mereka yang memegang jawatan dalam politik.

“Setiap siasatan mestilah ada laporan dibuat dan dikaji untuk melihat asasnya. Selepas berpuas hati ada asas kita akan ambil tindakan.

“Malah kita juga lakukan risikan dan kadangkala sitaan dokumen. Apabila sudah cukup semua barulah kita buat tangkapan dan ambil tindakan pada masa sesuai,” katanya selepas menghadiri sidang akhbar teater Bahara Emas di Bilik Seri Nilam, Istana Budaya, di sini hari ini.

Kenyataan Dzulkifli itu susulan tindakan SPRM melakukan serbuan di Pejabat Pemerbadanan Menteri Besar (MBI), Universiti Selangor (Unisel) dan Syarikat Jana Niaga Sdn. Bhd (JNSB) pagi semalam dipercayai berkait rapat dengan salah guna kuasa dalam isu pertikaian kontrak semalam.

Serbuan melibatkan lima lokasi di Kampung Pandan, Shah Alam dan Bestari Jaya, kampus induk Unisel di Seksyen 7 dan pejabat MBI di Bangunan Darul Ehsan di sini.

Mengulas mengenai pementasan teater Bahara Emas pada 19 hingga 22 Oktober itu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Dzulkifli berkata, program dianjurkan dengan kerjasama beberapa agensi lain itu adalah bersempena Sambutan 50 Tahun SPRM.

Katanya, pementasan teater itu merupakan salah satu pendekatan SPRM dalam menyebarkan kefahaman serta didikan masyarakat terhadap kesalahan melakukan rasuah dan salah guna kuasa berdasarkan mengikut lapisan masyarakat.

“Kita akan pilih semua pendekatan yang ada dan pementasan ini adalah salah satu medium dalam mendekati masyarakat serta memperhebatkan Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah),” katanya.