Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria berkata, sekiranya pelaku insiden tersebut mempunyai agenda memusuhi Islam, maka ia perlu diserahkan kepada pihak berkuasa.

“Kalau kita balas balik, kita pergi tembak orang yang tidak bersalah, jadi itu menjadi perkara yang tidak baik. Islam tidak mengambil tindakan secara melulu, kalau dibalas oleh orang Islam, ia akan jadi perang.

“Bila orang Islam serang gereja ke apa-apa, dia akan jadi gaduh, kita tidak boleh mengambil tindakan macam itu, kita serahkan pada pihak berkuasa untuk ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan majlis penyerahan wakaf al-Quran, tajwid dan terjemahan kepada pelajar luar bandar anjuran Persatuan Huffaz Malaysia di Maahad Al Ummah, Chemor di sini hari ini.

Harussani mengulas mengenai insiden tersebut yang dikhuatiri menimbulkan kemarahan umat Islam ekoran sekurang-kurangnya 40 orang terbunuh serta lebih 20 cedera parah dan perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

Harussani berkata, adalah sukar untuk sebarang pertuduhan kerana motif insiden itu tidak diketahui.

“Sebenarnya, kita tidak tahu dengan jelas siapa yang menembak itu, adakah orang Islam sendiri atau pun orang kafir, tetapi dahsyat kerana ia berlaku di tempat ibadat.

“Mungkinkah kerana perkara itu disebabkan oleh perselisihan peribadi atau kebencian kepada agama Islam, kita tidak tahu. Kalau orang Islam, mungkin dia bergaduh dengan imam itu ke atau kalau orang bukan Islam, (dia) marah pada masjid sebab bising masa dia tidur ke apa,” katanya. - UTUSAN ONLINE