Serangan bermula kira-kira pukul 8.30 malam waktu tempatan apabila dua letupan kedengaran berhampiran Stadium Nasional Perancis, lokasi Presiden, Francois Hollande menyaksikan perlawanan persahabatan antara pasukan Perancis dan Jerman.

Sejam kemudian, bunyi tembakan kedengaran kira-kira lapan kilometer dari stadium berkenaan, mengakibatkan 14 maut di Restoran Petit Cambodge dan Bar Le Carillon.

Lebih kurang pukul 10 malam, dua penyerang bersenjatakan senapang Kalashnikov menyerbu masuk Teater Bataclan ketika konsert kumpulan rock Eagles of Death Metal diadakan, menembak mati 112 mangsa dan melontar tiga bom tangan.

Dua letupan berani mati pula berlaku di luar sebuah bar berhampiran Stadium Nasional Perancis beberapa jam kemudian.

Bunyi tembakan dan letupan bom turut kedengaran di Galeri Seni Louvre, Pusat Pompidou, dan Pusat Beli-Belah Les Halles.

Laporan awal menyatakan, lebih 200 mangsa cedera dalam siri serangan keganasan itu dengan 80 daripadanya parah.

Menurut pihak berkuasa Perancis, sebanyak lapan orang penyerang maut termasuk pengebom berani mati.

Pihak berkuasa negara ini berkata, seorang penyerang yang meletupkan diri di Teater Bataclan dikenali sebagai warganegara Perancis.

Bagaimanapun, maklumat terperinci tentang identiti dan latar belakang suspek tidak dinyatakan.

Polis Perancis juga menahan seorang lelaki dipercayai penyerang yang mendakwa direkrut kumpulan militan Negara Islam (IS) bersama tiga individu lain.

Presiden Perancis, Francois Hollande mengisytiharkan darurat susulan serangan berkenaan yang disifatkan sebagai ‘serangan keganasan tidak dijangka’, memaksa penutupan sempadan-sempadannya selain pengerahan kira-kira 1,500 anggota tentera tambahan ke Paris. – AGENSI