Setiausaha Agungnya, Hafiz Nafiah berkata, kejadian itu disedari kira-kira pukul 10 pagi oleh kakitangan pejabat tersebut.

“Akibat daripada kejadian itu, dianggarkan kerugian yang dialami ialah sebanyak RM5,000 termasuk wang tunai dan kita telah buat laporan polis di Balai Polis Taman Melawati untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya menerima laporan dibuat kerani pejabat tersebut kira-kira pukul 11 tengahari.

“Menurut wanita berusia 20 tahun terbabit, ketika tiba di hadapan pintu pejabatnya, dia dapati mangga pintunya telah diumpil.

“Dia kemudian membuat pemeriksaan di bahagian dalam pejabat, dan dapati sejumlah wang sebanyak RM3,000 telah hilang dari peti deposit tunai milik persatuan tersebut,” katanya ketika dihubungi di sini.

Tambah Hamzah, pihaknya sedang mengesan suspek yang terlibat dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE