Taktik tersebut terbongkar apabila serbuan oleh Jabatan Imigresen Selangor ke atas rumah kongsi di Bandar Saujana Putra, Jenjarom, hanya menemui sebilangan kecil PATI walaupun maklumat risikan mendapati mereka menetap dalam jumlah yang ramai di kawasan itu.

Bagaimanapun, hasil soal siasat ke atas sekumpulan PATI di rumah kongsi telah membongkar 'rahsia' di mana rakan-rakannya yang lain berada sekali gus membolehkan pihak berkuasa menahan 132 orang daripada kese­luruhan 403 warga asing yang diperiksa.

Ketua Unit Operasi Jabatan Imi­gresen Selangor, Jai­min Sumpit berkata, pihaknya meneri­ma aduan daripada orang awam yang memaklumkan tidak selesa dengan kehadiran ramai PATI di kawasan itu.

"Bertindak atas laporan, Ops Ikrar telah dijalankan dan seramai 403 warga asing telah diperiksa. Daripada jumlah itu 132 individu terdiri daripada warganegara Indonesia, Bangladesh, Myanmar dan Ghana telah ditahan dalam operasi yang berlangsung selama tiga jam.

“Kita mendapati warga asing ini memilih untuk tinggal di bangu­n­an tinggi yang sedang dalam pembinaan bagi mengelak­kan kehadiran mereka dihidu pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Jaimin lagi, ketika serbuan dibuat, pihaknya meng­alami kesukaran untuk mengesan warga asing berikutan kawasan tapak pembinaan yang agak luas selain dikelilingi dengan bahan-bahan binaan seperti besi, konkrit dan kayu.

Katanya, disebabkan kesuka­ran itu, pergerakan anggota Imi­gresen agak terbatas, apatah lagi dalam suasana gelap menyebabkan ramai antara mereka berjaya meloloskan diri.

“Ketika serbuan dibuat ada PATI yang sanggup meredah kolam sedalam paras dada orang dewasa untuk mengelakkan daripada ditahan tetapi kami bersyukur kerana tiada sebarang kejadian tidak diingini berlaku sepanjang operasi,” katanya.

Tambah beliau, kesemua PATI yang ditahan disiasat mengikut tiga seksyen iaitu Seksyen 6(1)(c) kerana tiada pas yang sah, Seksyen 15(1)(c) kerana tinggal lebih masa serta Seksyen 56(1)(l) kerana memiliki dokumen palsu.