HAMZAH ALIAS
HAMZAH ALIAS 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, tangkapan itu dibuat susulan aduan seorang pemandu Grab mendakwa disamun sekumpulan tiga lelaki yang menaiki kenderaannya pada 20 September lalu.

“Dalam kejadian kira-kira pukul 3.50 pagi itu, mangsa disamun dengan diacukan sebilah pisau pemotong sayur ke lehernya apabila tiba ke destinasi diminta suspek di Taman Bakti, di sini.

“Satu serbuan kemudian dibuat kira-kira pukul 2.30 pagi di Batu Caves, Gombak, kelmarin dan menahan lapan lelaki serta seorang remaja perempuan berusia antara 15 hingga 43 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dalam serbuan itu, Hamzah berkata, pihaknya turut merampas beberapa barangan dipercayai hasil samun serta peralatan digunakan suspek.

“Hasil siasatan awal mendapati, semua suspek terlibat dalam sekurang-kurangnya enam kes samun kereta Grab di Ampang, Selayang dan Chow Kit.

“Kesemua suspek ditahan reman sehingga Rabu depan untuk disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana menyamun,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE