Berdasarkan hasil maklumat dan risikan anggota Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) Padang Besar, kenderaan yang dipandu seorang lelaki warga Thailand berusia 27 tahun itu ditahan di kawasan tersebut pada pukul 2.20 petang.

Hasil pemeriksaan menemukan sejumlah minyak masak yang disembunyikan di ruangan enjin manakala sebahagian lagi di tempat letak kaki penumpang belakang kenderaan.

Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali dalam satu kenyataan mengesahkan merampas 100 kilogram minyak masak peket bersubsidi bernilai RM290 yang cuba diseludup keluar dari negara ini hasil penahanan sebuah trak pikap di Kilometer 9.9, Jalan Wang Kelian-Kaki Bukit di Padang Besar, semalam.

Rampasan tersebut yang kemudian diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) negeri.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. - UTUSAN ONLINE