Komander Aksem negeri, Rusli Karim berkata, kira-kira pukul 8.30 malam, Jumaat lalu, pihaknya telah merampas mercun dan bunga api bernilai RM424,000 yang disembunyikan dalam timbunan pakaian terpakai ketika menahan sebuah lori di Jalan Merapoh - Kuala Lipis, Pahang.

Beliau berkata, tindakan itu ekoran daripada hasil risikan yang dibuat oleh pihaknya selepas mengesan sebuah lori yang mencurigakan di Gua Musang menuju ke arah Kuala Lipis.

“Selepas mengekori lori tersebut, kita berjaya menyekat ken­deraan itu, bagaimanapun pemandu dan kelindan lori telah melarikan diri ke dalam semak berhampiran dan meninggalkan lori tersebut dengan keadaan enjin masih hidup.

“Hasil pemeriksaan dalam lori tiga tan itu membawa kepada pe­nemuan mercun dan bunga api. Lori tersebut mempunyai dokumen penghantaran pakaian terpakai tetapi di dalamnya dimuatkan de­ngan berkotak-kotak mercun dan bunga api yang dipercayai diseludup dari negara jiran,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Rusli berkata, pihaknya per­caya kenderaan terbabit dalam perjalanan untuk menghantar 'be­kalan' bahan terlarang berkenaan ke Lembah Klang sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Sementara itu, katanya, kira-kira empat jam selepas itu, pihaknya telah merampas mercun dan bungai api bernilai RM59,400 di tepi Sungai Golok di pangkalan haram Jambu, Pengkalan Kubor yang cuba diseludup masuk ke negara ini.

“Barangan berbahaya itu ditinggalkan di kawasan tersebut selepas menyedari kehadiran anggota penguat kuasa,” katanya.

Katanya, pada 31 Disember lalu, pihaknya merampas mercun dan bunga api bernilai RM435,500 selepas menahan sebuah lori di tepi Jalan Kuala Krai - Gua Musang, Kampung Paloh dekat sini.

Tambahnya, bagaimanapun pemandu lori tersebut melarikan diri selepas meninggalkan kenderaan itu di tepi jalan apabila menyedari dia sedang diekori.

“Kami percaya masih ada saki baki anggota sindiket ini dan aktiviti ini dipercayai masih aktif sehingga tiba hari perayaan. Sehubungan itu, operasi masih diteruskan dan akan bersambung pula sehingga Aidilfitri,” katanya.

Tambahnya, kesemua kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967.

habis..