Timbalan Pengarah KPDNHEP negeri, Firdus Zakaria berkata, operasi disertai sembilan pegawai penguatkuasa pada pukul 3.00 petang itu ekoran aduan daripada pemilik cap dagang dua jenama terkenal berkenaan berhubung penjualan selipar tiruan menggunakan cap dagangan palsu.

Beliau berkata, pihaknya percaya selipar tiruan yang dirampas itu bukan sahaja untuk pasaran negeri ini bahkan akan turut diedar ke negeri lain.

"Selepas pengesahan dibuat wakil pemilik cap dagangan kita telah menyita 1,590 pasang selipar Adidas dan 1,320 pasang selipar jenama Fipper di premis pertama dan 1,310 pasang selipar Adidas dan 480 pasang selipar Fipper di premis kedua.

"Kita percaya bekalan selipar tiruan Fipper datang dari Thailand melalui jalan darat yang dimport orang tertentu untuk dihantar ke Kedah sebelum diedar ke seluruh negara manakala selipar tiruan Adidas pula datang terus dari China," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 8 (2) Akta Perihal Dagangan 2011 atas kesalahan membekal dan menawarkan barang yang menggunakan perihal dagangan palsu yang mana jika sabit kesalahan seseorang individu boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Katanya, bagi syarikat pula denda yang dikenakan adalah tidak melebihi RM15,000 bagi setiap barangan.

"Pemborong dalam kedua-dua kes ini bakal berhadapan jumlah denda yang tinggi jika sabit kesalahan iaitu lebih RM43 juta bagi kes pertama kerana membabitkan sebuah syarikat sendirian berhad manakala kes kedua pula yang membabitkan individu adalah denda lebih RM17 juta," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini pihaknya telah merampas barangan perihal dagangan palsu bernilai RM384,280 membabitkan 28 kes. - UTUSAN ONLINE